Tuesday, October 12, 2010

Merancang kewangan keluarga

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
Pada tahun 2009 tugas wanita untuk merancang bajet keluarga mungkin lebih mencabar.
"ORANG ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada."


IBU kepada empat orang cahaya mata, Fazuliana Wari Dali, 36, tidak pernah gagal daripada tanggungjawab menguruskan perbelanjaan keluarganya.
Meraih pendapatan yang diperoleh daripada perniagaan lukisan, dia tahu cara yang betul menguruskan kewangan.
Menyedari anak-anak semakin membesar dan sesi persekolahan juga bakal bermula tidak lama lagi, Fazuliana lebih selesa menabung untuk kegunaan pada saat diperlukan.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, dia masih membeli tiga pasang seragam dan kasut sekolah untuk tiga orang anaknya yang bersekolah. Sungguhpun isu kegawatan ekonomi sudah mula diuar-uarkan, Fazuliana masih belum merancang mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan sekolah anak-anak.
Sebaliknya, dia sentiasa menasihati anak-anak agar sentiasa menjaga perilaku supaya kelengkapan sekolah boleh digunakan sepanjang tahun. Menerusi kaedah ini, dia boleh berjimat tanpa perlu membeli baju sekolah yang baru.
"Amalan berjimat cermat ini perlu diamalkan memandangkan harga barang kini semakin naik. Memang terasa apabila melihat harga barang tidak menentu. Jika sebelum ini peruntukan RM100 dapat memenuhi troli tetapi kini untuk mendapatkan barang yang sama, saya perlu berbelanja sebanyak RM250.
"Situasi ini bukan sahaja berlaku di pasar raya besar malah perang harga juga boleh dilihat di pasar borong. Jika masalah ini berterusan saya akan mengurangkan sedikit perbelanjaan supaya peruntukan perbelanjaan yang diberi suami setiap bulan sentiasa mencukupi," luahnya yang menjalankan perniagaan melalui Internet.
"SETIAP individu wajar mengamalkan sikap suka menabung."


Pengalaman selama 14 tahun bekerja di bank membuatkan Fazuliana memahami cara terbaik untuk menguruskan kewangan peribadi.
Tahun ini penuh dengan berita kurang enak mengenai ekonomi dunia. Malaysia dikatakan tidak terkecuali merasai tempias itu.
Menyedari perkembangan tersebut, kerajaan menyarankan supaya masyarakat mengambil langkah berjimat cermat. Pengguna perlu hanya membeli barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu.
"Benar, jika diperhatikan di Internet dan media, kebanyakan berita yang disajikan menyatakan negara kita bakal menempuh situasi ekonomi yang tidak menentu pada tahun ini. Tapi, orang ramai jangan mudah panik dan bimbang kerana semuanya bergantung pada gaya hidup anda sendiri.
"Sekiranya amalan jimat cermat sudah diamalkan sejak dulu lagi dan menabung, maka isu kegawatan ekonomi bukanlah suatu masalah yang besar. Malah, tatkala krisis berlaku pun kita tidak akan terasa keperitan itu," jelas Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn. Bhd., Laila Johari yang menyatakan setiap individu wajar mengamalkan sikap menabung.
Justeru, Laila menyifatkan tahun ini merupakan tahun yang paling sesuai untuk orang ramai belajar menabung.


Jika sebelum ini sejumlah wang diperuntukkan membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran adalah lebih wajar kita mengubah tabiat sedemikian.
Orang ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada. Sebaik-baiknya bertukarlah membeli produk tempatan dan mengunjungi destinasi percutian dalam negara. Daripada membazirkan wang yang banyak untuk makan di luar, lebih baik sekiranya wang itu digunakan membeli bahan mentah dan makan di rumah. Dengan cara ini, sambil berjimat kita dapat meningkatkan keharmonian keluarga.
Selain menghakis sikap boros, obses menggunakan kad kredit juga harus dikawal.
"PENGGUNA perlu membeli hanya barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu. - Gambar hiasan"


Elakkan memiliki kad kredit lebih daripada satu kerana penggunaan kad kredit bakal membuatkan si pengguna terpaksa membayar hutang yang tinggi.
"Saya juga tidak bersetuju sikap pengguna yang gemar membayar hutang kad kredit sebanyak lima peratus pada setiap bulan. Hutang yang selebihnya tertunggak dan beralih pada bulan seterusnya. Semakin banyak hutang kad kredit, semakin tinggilah kadar faedahnya.
"Bagi golongan ibu bapa yang memakai kad kredit, disarankan supaya mereka menggunakan kad itu untuk hal-hal kecemasan atau kesihatan yang melibatkan ahli keluarga saja. Elakkan membeli barang menggunakan kad kredit kerana kesannya amat buruk," ujarnya kepada Kosmo!.
FAZULIANA (tengah) sentiasa menasihati anak-anak supaya bijak menjaga kelengkapan sekolah.


Laila mengakui sistem pengurusan kewangan keluarga terletak pada kebijaksanaan isteri dalam merancang perbelanjaan setiap bulan.

Tekanan sosial ganggu kesuburan

Oleh NURUL IZZA ROSLY


SEPERTI pasangan suami isteri yang lain, wanita ini menyimpan impian untuk mempunyai keluarga bahagia. Saban hari dia tidak pernah putus harapan berdoa agar impiannya dan suami menjadi ibu bapa menjadi kenyataan.
Namun, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, belum ada tanda-tanda Shafawati Adilla Rahmat, 29, akan hamil.
Lebih menekan perasaannya apabila sepanjang tempoh tersebut dia dihujani dengan pelbagai soalan, kata-kata sindiran dan cemuhan hanya kerana mereka belum dikurniakan cahaya mata. Peringkat awal, Shafawati sedikit pun tidak ambil kisah dengan kata-kata tersebut, namun lama kelamaan dia merasakan sudah letih untuk melayaninya.
Bagaimanapun, tekanan Shafawati semakin memuncak apabila anak saudaranya yang serentak ke jenjang pelamin hamil selepas tiga bulan bernikah.
“Baik rawatan moden mahu pun tradisional, saya dan suami, Asyraff Daniel Latif, 38, semuanya kami ikhtiar.
“Ketika usia perkahwinan kami mencecah sembilan bulan, saya rasa tidak sedap badan. Mana tahu mungkin saya hamil.
“Namun, saya kecewa apabila doktor memberitahu bahawa saya hanya demam biasa dan tidak menunjukkan tanda hamil,” kata eksekutif kanan di salah sebuah syarikat swasta itu ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak lama selepas berjumpa dengan doktor, ada yang menyarankan Shafawati menjalani rawatan mengurut sistem peranakannya.
Tidak lama selepas itu, Shafawati dan suaminya mendapatkan pula khidmat nasihat daripada doktor pakar. Hasil pemeriksaan doktor mendapati, kedua-dua mereka tiada masalah cuma belum ada rezeki dikurniakan zuriat. Adakah faktor tekanan atau stres dikaitkan dengan ketidaksuburan atau infertiliti?
“Tidak dinafikan stres dan infertiliti ada hubung kait kerana ia menyebabkan wanita dan pasangannya mengalami tekanan perasaan.


“Namun sama ada stres boleh menyebabkan infertiliti, ia masih menjadi tanda tanya,” jelas Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr. Mohd. Rushdan Md. Noor ketika dihubungi.
Ramai pakar psikologi percaya sistem reproduktif manusia mempunyai kaitan dengan psikologi.
“Stres boleh merencat rembesan hormon gonadotropin. Stres yang berlebihan dan berpanjangan boleh menyebabkan gangguan kitaran haid termasuk tidak berlakunya ovulasi dan tiada haid (amenorea).
“Stres juga dipercayai boleh meningkatkan kandungan bahan kimia yang dinamakan katekolamin dan reseptor ini banyak terdapat pada organ-organ reproduktif,” katanya.
Gangguan sistem reproduktif
Menurut Rushdan, ada kemungkinan bahan-bahan kimia tersebut menyebabkan berlakunya gangguan fungsi sistem reproduktif yang menyumbang kepada infertiliti.
Kepada golongan lelaki, stres boleh mengurangkan bilangan sperma berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas penjenayah-penjenayah yang menunggu untuk menjalani hukuman mati.
Ujian biopsi ke atas kelenjar testis mereka mendapati, berlaku perencatan proses penghasilan sperma pada semua peringkat.
“Malah, stres juga boleh menyebabkan disfungsi seksual. Kesemua faktor ini boleh menyumbang kepada kegagalan untuk mendapat zuriat,” ujarnya.
Dalam buku Mohd. Rushdan yang bertajuk, Panduan Lengkap Reproduksi Manusia dan Rawatan Infertiliti, Rushdan memberitahu, kajian mendedahkan bahawa tekanan perasaan yang dialami oleh pasangan yang tidak subur mempunyai banyak persamaan dengan tahap keseriusan penghidap kanser dan penyakit jantung.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan satu-satu pasangan berdepan dengan tekanan perasaan apabila mengalami infertiliti.
“Mereka diselubungi perasaan rendah diri, menganggap diri tidak cukup sifat dan gagal dalam hidup.
“Sesetengah pasangan meletakkan kejayaan memperoleh zuriat sebagai satu prasyarat kebahagiaan rumah tangga, malah ada yang takut gagal apabila menjalani rawatan serta malu untuk berdepan dengan masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pakar Psikiatri Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Zuraidah Ahmad Sabki mengakui tekanan berlaku kerana kehendak sosial masyarakat di negara ini.
Budaya masyarakat
“Sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia bila seseorang itu belum berkahwin mereka akan tanya, bila nak kahwin? Apabila sudah berkahwin mereka akan tanya soalan lain, bila nak dapat anak? atau anak berapa orang? Bila sudah dapat anak mereka tanya lagi, bila nak dapat anak perempuan atau lelaki dan sebagainya.
“Inilah antara faktor yang menyebabkan pasangan yang belum mendapat anak terus mengalami tekanan perasaan,” katanya.
TENGKU Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar bersama Nabeela Mohd. Hanif, yang menjadi bayi pertama dari Malaysia Timur yang dilahirkan menggunakan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) tajaan Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) dua tahun lalu.


Menurut Zuraidah, masyarakat lebih sensitif terhadap perasaan mereka yang menghidap penyakit kanser, HIV, AIDS dan sebagainya dengan tidak bertanya soalan-soalan yang mengundang rasa kecil hati mereka.
“Tetapi berapa ramaikah yang faham bahawa infertiliti juga adalah masalah kesihatan?
“Hakikatnya, infertiliti adalah elemen penting dalam kesihatan reproduktif kerana setiap individu berhak ke atas dirinya untuk berkeluarga,” kata Zuraidah mengajak orang ramai mengubah persepsi berhubung infertiliti dan memahami mereka yang berdepan dengan masalah tersebut.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini, belum ada khidmat rundingan khusus untuk membantu pasangan yang belum dikurniakan zuriat bagi menangani tekanan mereka.
Pasangan yang mendapatkan khidmat di LPPKN akan berjumpa dengan jururawat terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada mana-mana doktor pakar di LPPKN.
“Doktor akan memberikan penerangan tentang rawatan yang bakal dijalani dan keputusan pemeriksaan kesihatan. Rawatan infertiliti ini mengambil masa yang lama, sehubungan itu, doktor akan bertanya masalah yang dihadapi oleh pasangan terbabit,” katanya pada Seminar Kesihatan Reproduksi Manusia dan Rawatan Infertiliti anjuran Utusan Publications & Distributors (UP&D) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebaliknya, di luar negara, mana-mana pasangan yang gagal mendapatkan anak akan diberi kaunseling terlebih dahulu oleh pakar psikologi.
Apabila pasangan tersebut sudah bersedia dari segi emosi, barulah mereka dibenarkan menjalani rawatan infertiliti.
“Jika mereka dalam keadaan tertekan, rawatan tersebut kurang berkesan kerana tekanan menyebabkan hormon dalam badan kucar-kacir dan badan kita tidak memberikan respons yang baik terhadap rawatan.
Menurut Zuraidah, banyak punca yang menyebabkan pasangan itu menghadapi tekanan. Paling utama ialah tekanan sosial iaitu daripada sahabat dan ahli keluarga terutamanya keluarga suami.
“Sebab itulah sokongan daripada suami penting bagi mengurangkan tekanan di pihak isteri. Beban tekanan pula bertambah apabila keputusan rawatan tidak seperti yang diharapkan, tekanan biologikal dan ekonomi,” jelasnya.
KAEDAH IVF merupakan salah satu penyelesaian masalah infertiliti yang popular.


Ada pula suami mengambil kesempatan menggunakan alasan tidak punya anak untuk berpoligami walhal kemungkinan masalah infertiliti itu datang daripada diri mereka sendiri.
“Jadi, masing-masing perlu muhasabah diri dan jangan menyalahkan antara satu sama lain,” katanya. Zuraidah juga menasihatkan pasangan mempunyai kekuatan mental dalam menghadapi ujian seperti ini. Mereka perlu reda, realistik dan bersedia untuk mengambil anak angkat.
“Jika kita telah berusaha tetapi masih tiada hasil, maka kita wajib percaya pada qada’ dan qadar Allah. Cahaya mata adalah hak Allah, jika Dia belum mahu mengurniakannya, maka redalah, jangan terlalu gusar kerana tidak semestinya tanpa anak kita gagal dalam hidup,” kata seorang pakar rawatan tradisional yang hanya mahu dikenali sebagai Arshad.
sumber : Kosmo Online