Friday, June 25, 2010

Soal Jawab Agama: Nama anak perlu ada ciri keislaman

2010/06/24

Menamai zuriat dengan panggilan terlalu panjang akan disingkatkan hingga tiada maksud

SAYA baru mendapat cahaya mata lelaki dan masih ragu-ragu untuk menamakan anak saya. Apakah nama yang sesuai untuk anak saya kerana bimbang akan memberi kesan kepadanya di masa depan. Apakah benar nama ada hubungan dengan baik atau buruknya nasib seseorang.

Hamizan,
Merlimau, Melaka

Nama atau ‘Ismun’ dalam bahasa Arab adalah perkara paling penting dalam peradaban manusia. Ilmu pertama diajar oleh Allah SWT kepada manusia pertama iaitu Nabi Adam ialah nama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia mengajarnya kepada Adam, nama-nama benda seluruhnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 31)

Nama adalah ciri atau tanda supaya orang yang diberi nama dapat mengenal dirinya atau dikenali oleh orang lain.

Diceritakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.” (Surah Maryam, ayat 7)

Anak adalah anugerah Allah SWT untuk dipelihara dan dijaga dengan baik kerana ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa depan. Oleh itu, selepas seminggu dilahirkan, anak akan diberi nama baik yang bercirikan keIslaman.
Nabi SAW pernah menyuruh sahabat menamakan anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh kelahiran. Nama yang baik ialah nama bersandarkan lafaz ketuhanan yang melambangkan penghambaan kepada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya nama yang paling disukai Allah SWT ialah Abdullah (hamba Allah ) dan Abd Rahman (hamba pada yang maha pemurah).” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari ‘Abdullah bin ‘Umar)

Imam Nawawi berpendapat, walaupun nama ‘Abdullah’ dan ‘Abdurrahman’ adalah nama paling baik, namun tidak salah menamakan anak dengan nama lain kerana Nabi SAW sendiri pernah menamakan bayi yang dibawa kepadanya dengan nama “al-Munzir”.

Imam Qastalani menyebut, nama itu menjadi mulia kerana disandarkan kepada sifat Allah SWT. Begitu juga nama yang baik seperti Abd Qadir, Abd. Quddus, Abd Malik dan sebagainya.

Namun, ada juga nama yang dilarang Nabi SAW seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Seburuk-buruk nama di sisi Allah SWT pada hari kiamat ialah lelaki yang menamai dirinya Malikul Muluk (raja segala raja) kerana tiada raja pada sekalian raja melainkan Allah SWT. Begitu juga nama Harb (peperangan) dan Murrah (pahit)..” (Irsyadus Sari-Imam Qastallani)

Nabi SAW sendiri pernah menukar nama seorang perempuan bernama A’siah (yang berdosa) kepada Jamilah (yang cantik).

Ibnul Qayyim menyebut, nama juga boleh memberi kesan kepada pemiliknya sama ada elok ataupun sebaliknya, ringan dan berat serta kasar dan halus. Jika nama tidak memberi kesan nescaya Nabi SAW tidak akan menukar nama buruk seperti disebutkan tadi.

Apa yang mendukacitakan, ada di kalangan masyarakat Islam sekarang menamakan anak mengikut cita rasa sendiri berdasarkan sedapnya pada sebutan sedangkan hakikatnya membawa makna tidak baik.

Malah, ada juga menganggap nama sandaran kepada Allah dan rasulnya sebagai kolot dan tidak bertamadun. Akhirnya mereka meletakkan nama terlalu panjang sehingga sukar untuk dipanggil dan disingkatkan oleh orang lain kepada nama pendek yang tidak diketahui maksudnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh itu, disarankan kepada mereka yang ingin menamakan anak hendaklah merujuk kepada orang yang arif bahasa Arab atau sandarkan kepada nama Allah yang 99 (Asmaul Husna) kerana ia adalah nama baik.

Berhati-hati ketika mendaftarkan anak kerana ejaan yang salah akan membawa pengertian negatif daripada sudut bahasa Arab.

Penulis ialah eksekutif di Jabatan Agama NST dan boleh dihubungi melalui e-mel zaman@nstp com.my

Tuesday, June 22, 2010

Doaku..

Ya Allah, ya Karim
Izinkan hamba-hambaMu ini berikhtiar
Dalam batas-batas syari’at yang telah Engkau gariskan
Dalam hembusan sejuknya iman...
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
[الفرقان :74]
Ya Allah kurniakanlah kami , pasangan dan zuriat yang menyejukkan mata. Jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa

Fasa Baru..


Assalamualaikum wbt..

Hari ini datang 'mood' untuk menulis. Setelah melakukan rutin biasa setiap hari. Sudah seminggu berada di Puchong, mengikut suami yang tinggal dan bekerja di sini. Dan selama seminggu ini juga la rutin harianku berubah, menjadi suri rumah sepenuh masa sementara menunggu 'posting' yang entah bila. Sungguh pernikahan ini, memberi perubahan pada hidupku. Dulu, masih di bawah tanggungan ummi buya, tp sekarang tidak lagi. Berada di bawah jagaan sang lelaki bergelar suami. Dan apabila bergelar isteri ini juga lah, tugasku kian berat. Untuk bersama-sama suami dalam mengemudi sebuah rumah tangga kehidupan...

Hari ini, sudah 2 minggu dan 4 hari kami bergelar suami isteri. Bergelar isteri seusia 23 tahun mungkin terlalu muda bagi sesetengah orang. Ia, memang itu diri ini mengakuinya. Namun, itu bukan alasan untuk tidak belajar. Kerana usia muda inilah, ALLAH memberi peluang padaku untuk belajar. Belajar untuk menjadi isteri, menjadi peneman hidup untuk sama-sama berjuang dalam alam kehidupan ini bersama suami tercinta.

Doaku, jua harapanku, moga aku kan terus belajar dan belajar, menerima dan diterima, mencinta dan dicinta, memaafkan dan dimaafkan, untuk melayari kehidupan ini bersama-sama. Moga kata 'Bercinta hingga ke syurga' bisa menjadi realiti. InsyaALLAH...

Ya Allah…
Indahkanlah rumah kami dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci.
Suburkanlah kami dengan keturunan yang membesarkan asma-Mu.
Penuhi kami dengan amal shaleh yang Engkau ridhai.
Jadikan mereka Yaa…Allah teladan yang baik bagi manusia.

Ya Allah…
Damaikanlah pertengkaran di antara kami, pertautkan hati kami, dan
tunjukkan kepada kami jalan-jalan keselamatan.
Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya.
Jauhkan kami dari kejelekan yang tampak dan tersembunyi.

Ya Allah…
Berkatilah pendengaran kami,
penglihatan kami,
hati kami,
suami/isteri kami,
keturunan kami dan
ampunilah kami.

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang.

Amiin…

Friday, June 18, 2010

Harapan Pernikahan

Ya allah.... Andaikan semua ini layak bagi kami, cukupkanlah permohonan ini dengan ridha-Mu

Jadikanlah kami sebagai suami istri yang saling mencintai dikala dekat,

Saling menjaga kehormatan dikala jauh

Saling menghibur dikala duka,

saling mengingatkan dikala suka,

saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan,

saling menyempurnakan dalam beribadah.

Ya allah...sempurnakanlah kebahagiaan kami dengan menjadikan pernikahan ini sebagai ibadah kepada-Mu dan bukti pengikat cinta kamu kepada Rasul-Mu

Tuesday, June 8, 2010

Alhamdulillah...



Alhamdulillah, termeterai sudah ikatan atr dua hati ini...Ya ALLAH, titipkanlah kebahagiaan buat kami...

p/s : Terima kasih buat mereka yang sudi hadir ke majlis...doakanlah kebahagiaan kami...