Saturday, December 18, 2010

Hari Sabtu : Selamat berhujung Minggu!!!

Assalamualaikum wbt

Selamat hari Sabtu. Ada apa dengan hari Sabtu? Bagi saya, hari Sabtu untuk saya menyelesaikan urusan rumah tangga yang tertunda. Pagi tadi, saya dan suami ber 'jogging' di taman rekreasi yang terdapat di kawasan perumahan rumah sewa kami ini. Huhu, secara 'paksa rela' mengikut suami sambil mendengar ceramah kesihatan oleh beliau, hehe.

Sejam juga ber'jogging'. Sangat mengagumi beberapa orang golongan veteren bersenam di pagi hari yang majoritinya dari kaum Cina. Ada juga segelintir kaum Melayu tapi boleh dikira dengan jari, huhu.

Terfikir juga, hari Sabtu bagi warga kota bermula jam 12.00 tengah hari. Kenapa? Kerana hari Sabtu adalah waktu untuk mereka meng'qhada' tidur, hehe. 

Ini kali pertama saya keluar bersenam bersama suami. Atas cadangan saya juga sebenarnya tetapi atas kesungguhan suami, ia jadi kenyataan. Dan saya harap rutin aktivti ini berjalan setiap hujung minggu, insyaALLAH. 

Ini salah satu cara kami menghabiskan masa bersama. Ya, suami saya sangat sibuk dengan kerja, tapi saya faham segalanya untuk kesenangan famili saya juga. Tadi pulang sahaja dari ber'jogging' beliau sempat berkebun. Tapi, bila dah mendapat panggilan telefon, beliau harus ke 'site'. Maknanya saya keseorangan sekarang...Wuuu

Memang niat di hati ingin keluar bersiar-siar, tapi tidak mengapa. Terasa malas pula mahu keluar ke mana-mana. Lebih baik saya habiskan masa di rumah, menyelesaikan segala tunggakan kerja yang ada.

Selamat berhujung minggu!!!



p/s : Rindunya nak kembali aktif... InsyaALLAH, Januari bakal memulakan segalanya kembali...Doakan saya sahabat-sahabat semua...

Friday, November 12, 2010

Madrasah rumah tangga



Oleh Mohd Fadly Samsudin
KETIKA hangat bercinta, pasangan ibarat belangkas, ke mana sahaja asyik berkepit. Ketika itu semuanya indah dan wangi belaka, tiada ada cela di antara satu sama lain.

Namun, selepas berkahwin, lain pula ceritanya. Ada saja yang tidak kena, seolah-olah suami isteri mencari kesalahan masing-masing. 


Fenomena bercinta setahun berkahwin sehari kian mencengkam masyarakat Islam di negara ini. Ia seperti kudis yang menunggu masa mengeluarkan nanah busuk. 

Punca utama berlakunya 'perkahwinan singkat' ini kerana kurangnya komunikasi, pasangan panas baran, masalah kewangan serta campur tangan orang ketiga.


Justeru, adakah setiap pasangan faham matlamat perkahwinan dan bersyukur dengan anugerah Ilahi? 


Jika masalah kewangan dikatakan punca perkahwinan singkat, bagaimana halnya dengan pasangan yang mampu bertahan walaupun mereka hidup dalam kekurangan? 

Jelas ia bertitik tolak daripada keberkatan yang Allah kurniakan kepada rumah tangga yang dibina berpaksikan kasih sayang serta kesederhanaan sehingga mampu mendidik anak serta keluarga bersifat qanaah (cukup) dan reda dengan apa yang dimiliki. 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya lelaki mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkah lakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anak-anaknya." (Riwayat At-Tirmizi) 

Perkahwinan ibarat 'pelayaran' di lautan yang tidak dapat diduga dengan tepat geloranya. Justeru, sebagai nahkoda yang mengemudi bahtera itu, perkahwinan perlu dibaja dengan kasih sayang dan saling memahami. 

Ada juga perkahwinan berpunca daripada memilih pasangan yang tidak bersandarkan apa yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat." (Muttafaqun Alaih). 

Malah, gambaran terhadap keluarga yang bahagia memerlukan keluarga yang beragama. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila datang kepada kamu orang yang kamu redai agama dan akhlaknya maka hendaklah kamu mengahwinkannya, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar". (Riwayat at-Tarmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim). 

Bagaimana mahu mewujudkan keluarga bahagia jika masing-masing tidak mahu mengalah dan saling mempertahankan ego sendiri? 

Isteri yang mempunyai suami panas baran perlu mencari jalan mengelak kemarahan dengan bersabar dan reda. 

Contohnya, jika ada isteri dimarahi kerana lambat menyediakan makanan, isteri perlu segera berubah. Istiqamah dalam melakukan tugasan menjaga kebajikan suami. 

Pastikan suami diberi layanan paling istimewa sehingga mereka tiada lagi ruang untuk marah atau mencari kesalahan isteri. Akhirnya pasti ia membuka jalan penyelesaian kepada masalah rumah tangga yang dihadapi. 

Daripada Abu Sayid Bin al-Khudri, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya apabila seorang suami menatap isterinya dan isterinya pula membalas pandangan dengan pandangan cinta dan kasih, lalu Allah menatap mereka dengan pandangan kasih mesra. Jika suami membelai isteri, lalu dosa mereka jatuh berguguran di celah-celah jari mereka. 

Perang mulut jangan dibiarkan berterusan kerana kerana gagal mengawal kemarahan menyebabkan ada suami tanpa berfikir panjang terus melafazkan talak. 

Pensyarah Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah, Ustaz Muhd Zainul Asri, berkata perkahwinan menjadikan setiap pasangan itu mendapat ketenangan. 

"Itulah bukti kekuasaan dan kebesaran Allah yang perlu kita syukuri. 
Perkahwinan menerbitkan perasaan saling sayang menyayangi (mahabbah) serta bersatu (mawaddah) untuk membentuk keluarga bahagia. 

"Ada empat perkara yang amat penting dijadikan ukuran dalam hal asas pembinaan rumah tangga iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama. Namun pemilihan dari segi agamanya adalah paling utama," katanya. 

Muhd Zainul berkata bagi mengekalkan perkahwinan tiada rahsia lain melainkan memberikan sepenuh kasih sayang terhadap pasangan sehingga ia menjadi satu ibadat untuk merapatkan diri kepada Allah. 

"Itulah kehebatan Allah yang menciptakan manusia, lelaki dan perempuan yang setiap satunya tidak serupa. 

"Maksud perkahwinan sebenar mampu menjadikan seseorang itu tambah taat kepada Allah. Ia ibadah yang disyariatkan Islam dan perlu dilaksanakan dengan sempurna," katanya. 

Beliau berkata, menjadi perkara biasa dalam perkahwinan jika berlakunya salah faham, selesaikan cara bijaksana. 

"Suami perlu menjalankan tugas sebagai ketua dengan mendidik keluarga. Isteri pula perlu menunjukkan sifat takwa, mentaati suami, berhias diri untuk suami, memelihara kehormatan diri menjaga rahsia rumah tangga. 

"Tanda seorang wanita solehah boleh dinilai, antaranya apabila suami melihat wajah isteri, hatinya senang, patuh perintah suami dan apabila suami tiada di rumah, si isteri tetap menjaga kehormatan diri," katanya. 

Berbicara soal talak, Muhd Zainul berkata jika perkahwinan gagal diselamatkan, talak adalah jalan terakhir. 

"Mungkin ada yang tidak mendapat kebahagiaan dalam perkahwinan itu, maka dibenarkan menjatuhkan talak namun ia perlu 'diadili' atas empat perkara asas iaitu haram, makruh, wajib dan sunat. 

"Haram menjatuhkan talak ketika isteri dalam haid kerana Islam tidak mahu menzalimi wanita. Manakala sunat menjatuhkan talak ke atas isteri ketika dia tidak mengikut perintah suami, celupar, suka memaki hamun dan tidak menjaga nama baik keluarga. 

"Walaupun talak dibenarkan dalam Islam, apabila suami melafazkan talak, arash Allah akan bergoncang," katanya. 

Pengacara dan pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor, berkata sebagai perancang keluarga suami perlu menanggung segala tuntutan seperti memberi perlindungan tempat tinggal, makan dan minum serta perbelanjaan lain. 

"Tugas isteri adalah untuk membantu suami. Dalam kehidupan sekarang sudah ramai isteri yang bekerja membantu keluarga dan ia pengorbanan mulia isteri dalam mengurangkan bebanan yang ditanggung suami. 

"Suami dan isteri perlu mengetahui peranan masing-masing walaupun mempunyai karier sendiri dan tidak boleh sesekali mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya. 

Asni berkata dalam merencana kehidupan yang penuh cabaran pasangan suami isteri perlu sentiasa mewujudkan keseronokan dalam rumah tangga mereka. 

"Jadi keluarga contoh yang boleh menjadi ikutan orang lain dengan menjalani kehidupan sebagai pasangan yang mengamalkan interaksi secara sopan dan menggunakan panggilan mesra. 

"Wujudkan persekitaran Islamiah di dalam rumah iaitu sentiasa mengucapkan salam kepada pasangan, memohon maaf jika melakukan kesilapan, solat berjemaah bersama, bercuti serta sentiasa mempertingkatkan ilmu berkaitan alam rumah tangga," katanya. 

Beliau berkata, amat kejam ada kes isteri dianiaya dan dizalimi suami malah membiarkan isteri dalam keadaan tidak terbela. 

"Selain memberi nafkah, suami juga pelindung kepada keluarga. Jika suami tergamak melakukan kekerasan terhadap isteri, suami berkenaan memang tidak membawa manfaat kepada keluarganya. 

"Cuba bawa unsur madrasah di dalam rumah tangga iaitu dengan menyemai benih tauhid dan iman kepada anak-anak. Ajarkan mereka al-Quran supaya hati mereka terdidik untuk membentuk keluarga yang hebat dalam dan luaran," katanya.


(sumber : Harian Metro)

Tuesday, October 12, 2010

Merancang kewangan keluarga

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
Pada tahun 2009 tugas wanita untuk merancang bajet keluarga mungkin lebih mencabar.
"ORANG ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada."


IBU kepada empat orang cahaya mata, Fazuliana Wari Dali, 36, tidak pernah gagal daripada tanggungjawab menguruskan perbelanjaan keluarganya.
Meraih pendapatan yang diperoleh daripada perniagaan lukisan, dia tahu cara yang betul menguruskan kewangan.
Menyedari anak-anak semakin membesar dan sesi persekolahan juga bakal bermula tidak lama lagi, Fazuliana lebih selesa menabung untuk kegunaan pada saat diperlukan.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, dia masih membeli tiga pasang seragam dan kasut sekolah untuk tiga orang anaknya yang bersekolah. Sungguhpun isu kegawatan ekonomi sudah mula diuar-uarkan, Fazuliana masih belum merancang mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan sekolah anak-anak.
Sebaliknya, dia sentiasa menasihati anak-anak agar sentiasa menjaga perilaku supaya kelengkapan sekolah boleh digunakan sepanjang tahun. Menerusi kaedah ini, dia boleh berjimat tanpa perlu membeli baju sekolah yang baru.
"Amalan berjimat cermat ini perlu diamalkan memandangkan harga barang kini semakin naik. Memang terasa apabila melihat harga barang tidak menentu. Jika sebelum ini peruntukan RM100 dapat memenuhi troli tetapi kini untuk mendapatkan barang yang sama, saya perlu berbelanja sebanyak RM250.
"Situasi ini bukan sahaja berlaku di pasar raya besar malah perang harga juga boleh dilihat di pasar borong. Jika masalah ini berterusan saya akan mengurangkan sedikit perbelanjaan supaya peruntukan perbelanjaan yang diberi suami setiap bulan sentiasa mencukupi," luahnya yang menjalankan perniagaan melalui Internet.
"SETIAP individu wajar mengamalkan sikap suka menabung."


Pengalaman selama 14 tahun bekerja di bank membuatkan Fazuliana memahami cara terbaik untuk menguruskan kewangan peribadi.
Tahun ini penuh dengan berita kurang enak mengenai ekonomi dunia. Malaysia dikatakan tidak terkecuali merasai tempias itu.
Menyedari perkembangan tersebut, kerajaan menyarankan supaya masyarakat mengambil langkah berjimat cermat. Pengguna perlu hanya membeli barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu.
"Benar, jika diperhatikan di Internet dan media, kebanyakan berita yang disajikan menyatakan negara kita bakal menempuh situasi ekonomi yang tidak menentu pada tahun ini. Tapi, orang ramai jangan mudah panik dan bimbang kerana semuanya bergantung pada gaya hidup anda sendiri.
"Sekiranya amalan jimat cermat sudah diamalkan sejak dulu lagi dan menabung, maka isu kegawatan ekonomi bukanlah suatu masalah yang besar. Malah, tatkala krisis berlaku pun kita tidak akan terasa keperitan itu," jelas Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn. Bhd., Laila Johari yang menyatakan setiap individu wajar mengamalkan sikap menabung.
Justeru, Laila menyifatkan tahun ini merupakan tahun yang paling sesuai untuk orang ramai belajar menabung.


Jika sebelum ini sejumlah wang diperuntukkan membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran adalah lebih wajar kita mengubah tabiat sedemikian.
Orang ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada. Sebaik-baiknya bertukarlah membeli produk tempatan dan mengunjungi destinasi percutian dalam negara. Daripada membazirkan wang yang banyak untuk makan di luar, lebih baik sekiranya wang itu digunakan membeli bahan mentah dan makan di rumah. Dengan cara ini, sambil berjimat kita dapat meningkatkan keharmonian keluarga.
Selain menghakis sikap boros, obses menggunakan kad kredit juga harus dikawal.
"PENGGUNA perlu membeli hanya barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu. - Gambar hiasan"


Elakkan memiliki kad kredit lebih daripada satu kerana penggunaan kad kredit bakal membuatkan si pengguna terpaksa membayar hutang yang tinggi.
"Saya juga tidak bersetuju sikap pengguna yang gemar membayar hutang kad kredit sebanyak lima peratus pada setiap bulan. Hutang yang selebihnya tertunggak dan beralih pada bulan seterusnya. Semakin banyak hutang kad kredit, semakin tinggilah kadar faedahnya.
"Bagi golongan ibu bapa yang memakai kad kredit, disarankan supaya mereka menggunakan kad itu untuk hal-hal kecemasan atau kesihatan yang melibatkan ahli keluarga saja. Elakkan membeli barang menggunakan kad kredit kerana kesannya amat buruk," ujarnya kepada Kosmo!.
FAZULIANA (tengah) sentiasa menasihati anak-anak supaya bijak menjaga kelengkapan sekolah.


Laila mengakui sistem pengurusan kewangan keluarga terletak pada kebijaksanaan isteri dalam merancang perbelanjaan setiap bulan.