Friday, July 2, 2010

Sayangi ibu, bapa, mentua sama rata

JIKA Allah menurunkan hidayah, segeralah bertaubat tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia sedangkan ketika hidupnya kita pernah menderhaka kepada mereka?

Maka ziarahilah pusara ibu bapa dan bacakan ayat suci untuknya. Jumpa kembali kawan baik ibu bapa atau jiran yang masih ada dan berbuat baik kepada mereka. Sedekahkan kepada masjid atas nama ibu bapa. Walaupun ibu bapa sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga mereka berdua reda dan Allah mengampunkan dosa. Allah Maha Pengampun dan luas rahmat-Nya tetapi jangan pula mengambil kesempatan untuk berbuat jahat, kemudian baru hendak bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala akan diterima. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Contohnya, tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, tetapi cuba selidiki kesalahan yang kita lakukan hari ini. Pertama, bagaimana hubungan kita dengan Allah? Jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan kita dengan ibu bapa? Pastikan hubungan kita dengan ibu bapa sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalin hubungan baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita. Lazimnya dalam hubungan ini, ibu yang dilebihkan sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak. Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Rasulullah meminta ibu didahulukan. Tiga kali ibu memanggil, barulah sekali kepada bapa. Bagaimanapun, sebaik-baiknya kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya, golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak mengambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua. Mentua juga mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Jika mereka berkecil hati, samalah seperti tersinggung hati ibu bapa kita. Kita sayang anaknya, jadi mengapa tidak turut menyayangi orang yang melahirkannya? Saya tahu, ada menantu berkecil hati dan memendam rasa terhadap mentua yang terlalu mengambil berat terhadap anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung. Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua kepada Rasul dan ketiga kepada ibu dan ibu mentua manakala keempat bapa dan bapa mentua. Kelima barulah isteri. Jadi, isteri kena faham jika suami sayang dan melebihkan ibu bapa kerana itu memang wajar. Sebaliknya, anak perempuan, yang pertama Allah, kedua Rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak selain Allah adalah ibu bapanya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak mengenali mentuanya. Menantunya berkasar, menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati tetapi sebelum pulang, Nabi Ibrahim berpesan kepada menantunya itu, meminta suaminya menukar alang rumah kepada yang baru. Apabila Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya menggambarkan rupa lelaki berkenaan yang menyampaikan pesanan. Nabi Ismail sedar, itu adalah bapanya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbolik kata-kata bapanya bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Kemudian Nabi Ismail berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa baginda. Nabi Ibrahim tertarik dan sebelum pulang, baginda berpesan lagi, dengan mengatakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Friday, June 25, 2010

Soal Jawab Agama: Nama anak perlu ada ciri keislaman

2010/06/24

Menamai zuriat dengan panggilan terlalu panjang akan disingkatkan hingga tiada maksud

SAYA baru mendapat cahaya mata lelaki dan masih ragu-ragu untuk menamakan anak saya. Apakah nama yang sesuai untuk anak saya kerana bimbang akan memberi kesan kepadanya di masa depan. Apakah benar nama ada hubungan dengan baik atau buruknya nasib seseorang.

Hamizan,
Merlimau, Melaka

Nama atau ‘Ismun’ dalam bahasa Arab adalah perkara paling penting dalam peradaban manusia. Ilmu pertama diajar oleh Allah SWT kepada manusia pertama iaitu Nabi Adam ialah nama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia mengajarnya kepada Adam, nama-nama benda seluruhnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 31)

Nama adalah ciri atau tanda supaya orang yang diberi nama dapat mengenal dirinya atau dikenali oleh orang lain.

Diceritakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.” (Surah Maryam, ayat 7)

Anak adalah anugerah Allah SWT untuk dipelihara dan dijaga dengan baik kerana ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa depan. Oleh itu, selepas seminggu dilahirkan, anak akan diberi nama baik yang bercirikan keIslaman.
Nabi SAW pernah menyuruh sahabat menamakan anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh kelahiran. Nama yang baik ialah nama bersandarkan lafaz ketuhanan yang melambangkan penghambaan kepada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya nama yang paling disukai Allah SWT ialah Abdullah (hamba Allah ) dan Abd Rahman (hamba pada yang maha pemurah).” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari ‘Abdullah bin ‘Umar)

Imam Nawawi berpendapat, walaupun nama ‘Abdullah’ dan ‘Abdurrahman’ adalah nama paling baik, namun tidak salah menamakan anak dengan nama lain kerana Nabi SAW sendiri pernah menamakan bayi yang dibawa kepadanya dengan nama “al-Munzir”.

Imam Qastalani menyebut, nama itu menjadi mulia kerana disandarkan kepada sifat Allah SWT. Begitu juga nama yang baik seperti Abd Qadir, Abd. Quddus, Abd Malik dan sebagainya.

Namun, ada juga nama yang dilarang Nabi SAW seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Seburuk-buruk nama di sisi Allah SWT pada hari kiamat ialah lelaki yang menamai dirinya Malikul Muluk (raja segala raja) kerana tiada raja pada sekalian raja melainkan Allah SWT. Begitu juga nama Harb (peperangan) dan Murrah (pahit)..” (Irsyadus Sari-Imam Qastallani)

Nabi SAW sendiri pernah menukar nama seorang perempuan bernama A’siah (yang berdosa) kepada Jamilah (yang cantik).

Ibnul Qayyim menyebut, nama juga boleh memberi kesan kepada pemiliknya sama ada elok ataupun sebaliknya, ringan dan berat serta kasar dan halus. Jika nama tidak memberi kesan nescaya Nabi SAW tidak akan menukar nama buruk seperti disebutkan tadi.

Apa yang mendukacitakan, ada di kalangan masyarakat Islam sekarang menamakan anak mengikut cita rasa sendiri berdasarkan sedapnya pada sebutan sedangkan hakikatnya membawa makna tidak baik.

Malah, ada juga menganggap nama sandaran kepada Allah dan rasulnya sebagai kolot dan tidak bertamadun. Akhirnya mereka meletakkan nama terlalu panjang sehingga sukar untuk dipanggil dan disingkatkan oleh orang lain kepada nama pendek yang tidak diketahui maksudnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh itu, disarankan kepada mereka yang ingin menamakan anak hendaklah merujuk kepada orang yang arif bahasa Arab atau sandarkan kepada nama Allah yang 99 (Asmaul Husna) kerana ia adalah nama baik.

Berhati-hati ketika mendaftarkan anak kerana ejaan yang salah akan membawa pengertian negatif daripada sudut bahasa Arab.

Penulis ialah eksekutif di Jabatan Agama NST dan boleh dihubungi melalui e-mel zaman@nstp com.my

Tuesday, June 22, 2010

Doaku..

Ya Allah, ya Karim
Izinkan hamba-hambaMu ini berikhtiar
Dalam batas-batas syari’at yang telah Engkau gariskan
Dalam hembusan sejuknya iman...
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
[الفرقان :74]
Ya Allah kurniakanlah kami , pasangan dan zuriat yang menyejukkan mata. Jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa“