Hawwa adalah seorang wanita yang tabah dan sabar. Suaminya seorang penyair yang sangat terkenal. Semasa Hawwa memeluk agama Islam, suaminya masih menganut agama nenek moyangnya. Berita keislaman Hawwa sampai ke pengetahuan suaminya. "Saya tidak suka awak menganut agama Islam. Berani awak mempermainkan agama nenek moyang kita," kata suaminya. Hawwa dengan tegas berkata: "Saya sudah bertekad dengan agama Islam. Allah adalah tuhan saya. Allah Yang Maha Esa. Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah". "Berani awak melawan cakap saya," kata Qais dengan nada tinggi lalu menampar muka isterinya. "Biar apa pun yang awak lakukan terhadap saya, saya tidak takut dan gentar," jelas isterinya yang kesakitan menahan tamparan di pipinya. Sejak Hawwa memeluk agama Islam, suaminya sering menyiksa dan menyakitinya. Anak-anaknya juga masuk Islam. Yazid dan Sabit merupakan sahabat Nabi Muhammad. Yazid pernah menyertai Perang Uhud. Berita penyiksaan Hawwa oleh suaminya telah sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad. "Wahai Nabi Muhammad, saya dengar Qais bin al-Khatim menyiksa isterinya, Hawwa yang sudah memeluk agama Islam. Dia kini tinggal di Madinah," kata seorang lelaki kepada Nabi Muhammad. Pada ketika itu Nabi Muhammad masih berada di Mekah. Nabi Muhammad belum berhijrah ke Madinah. Sejak Islam bertapak di Madinah, ramai penduduk yang tertarik dan masuk Islam. Mendengar berita penyiksaan Hawwa, Nabi Muhammad berasa simpati lalu berkata: "Saya akan bantu dan menyelamatkan Hawwa dari terus diseksa oleh suaminya". Pada suatu hari, Qais berjumpa dengan Nabi Muhammad di sebuah pasar iaitu Dzi al-Majaz yang terdapat di Mekah. Pasar itu merupakan pasar orang Arab yang sangat terkenal pada zaman jahiliah. "Apa khabar Qais," tanya Nabi Muhammad. "Saya sihat sejahtera," jawab Qais. Lalu Nabi Muhammad berkata lagi: "Wahai Qais, saya menyeru awak supaya ikut jejak langkah isteri awak memeluk agama Islam". "Maafkan saya. Pelawaan tuan itu bagus tetapi saya tidak berniat menukar agama. Saya tidak berminat untuk memeluk agama Islam. Tambahan pula pada masa sekarang ini saya sibuk dengan perang," kata Qais. Pada masa itu telah berlaku perang saudara antara kabilah Aus dan Khazraj. Perang tersebut hampir memusnahkan kedua-dua belah pihak. Akhirnya perang tersebut tamat di Bu'ats yang terletak berhampiran dengan kota Madinah. Berkali-kali Nabi Muhammad mengajak Qais memeluk Islam. Qais tetap dengan pendiriannya dengan menolak ajakan Nabi Muhammad. Sebentar kemudian, Nabi Muhammad berkata pula, "Wahai Qais, saya telah menerima khabar bahawa awak sering menyiksa dan menyakiti isteri awak. Sejak isteri awak masuk Islam, awak layan dia dengan kejam. Kasihanilah kepada isteri awak. Takutlah kepada Allah. Jaga isteri awak baik-baik. Jangan awak sakitinya lagi. Saya berharap awak dapat berbuat baik terhadapnya". Qais tersentuh hatinya apabila mendengar kata-kata Nabi Muhammad. Kemudian dia berkata, "Baik, sebagai menghormati awak saya berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti isteri saya lagi". Qais pulang ke Madinah dan berjumpa dengan isterinya. Lalu dia berkata: "Semasa saya berada di Mekah saya telah berjumpa dengan Nabi Muhammad. Saya telah berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti awak lagi". Hawwa gembira lalu bertanya: "Benarkah?" "Ya. Mulai pada hari ini saya tidak akan mengganggu urusan awak," jelas Qais lagi. "Terima kasih Muhammad kerana membantu saya menyedarkan suami saya akan perbuatan kejamnya terhadap saya. Terima kasih ya Allah kerana telah membuka hati suami saya. Selepas ini saya akan lebih tenang melakukan ibadah kepada-Mu," bisik Hawwa sendirian. Hawwa gembira kerana dapat melakukan amal ibadah dengan tenang tanpa sebarang gangguan dari suaminya. (sumber : Agama, Utusan Malaysia)HAWWA binti Yazid adalah wanita yang awal memeluk Islam. Dia anak saudara Saad bin Muaz. Dia berkahwin dengan Qais bin al-Khatim al-Aus. Mereka mendapat dua orang anak lelaki iaitu Yazid dan Sabit.
Tuesday, March 9, 2010
Hawwa isteri yang sabar
Murabbi Cinta, Seorang Nabi
“Kepalaku!” kata Aisyah. Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Aisyah radhiyallaahu ‘anha baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi. Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut. Baginda menyedarinya. “Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega. Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga. Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat. “Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami. “Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami. Merajuk. Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa. Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa. SAKIT YANG BERTAMBAH Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang. Kesakitan itu memuncak semasa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah radhiyallaahu ‘anha. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut! “Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya. Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ’sedar’ akan tanggungjawab dirinya berlaku adil kepada para isteri. Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri berbanding yang lain. Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah. Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang mengasihi. “Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta izin daripada para isterinya. Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya? HARI-HARI TERAKHIR Masruq meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha: Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. “Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya. Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah. Anakanda itu menangis. Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya. Fatimah ketawa. Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya, “apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?” Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam!” Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?” Kata Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya! “Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata: sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah! Aku menangis… Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku dengan berkata: apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku! Aku ketawa” Sesungguhnya… Fatimah radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam! DETIK SEMAKIN HAMPIR Dhuha itu tepu dengan kegelisahan. Senyuman yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada Abu Bakr dan sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan. Badan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian. “Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan. Aisyah radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya: Aku melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani kematian Baginda. Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Dan tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menyempurnakan pilihannya itu. Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi. Ketika Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti. Di sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini! Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi!” Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana. Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah. Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini. Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56] Kami rindukanmu. Murabbi cinta!
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!
Dia Pernah Mencintaimu
“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua. “Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan. Persoalan. Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat? “Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Aneh. Mencintai insan yang belum ada. Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan. Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta. Cinta luar biasa. Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi. SENYUMAN PERPISAHAN Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi. Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H, Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid. “Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu. Wajah itu mengubat rindu mereka. Tiga hari yang hilang warna dan sepi. Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat. Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin. Sangka mereka itu senyum kesembuhan. Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan… Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya. “Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit. “Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian. Tangan itu rebah terkulai. Basah dalam bejana air. Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya. Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan. Merindui saudara-saudaranya. Kita. SEBUAH PERTANYAAN CINTA Justeru… Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu? Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu? Hati kecil itu tidak mampu berbohong. Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu…. “Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]Dia Pernah Mencintaimu
Wednesday, January 6, 2010
RABI'AH AL ADAWIYAH : Perindu Cinta Allah
Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.
Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

