Sunday, April 25, 2010

AMANI


Amani

Album : Hikayat Cinta
Munsyid : Amar
http://liriknasyid.com


Tangisan sanubari telah terhenti
Kala suram suria memancar sinarnya
Pertemuan seindah bayangan firdausi
Menjadi zikir kasih yang suci

Lukisan dua jiwa menjadi satu
Terkenang detik bertemunya kau dan aku
Santun berhikmah mengingatkan diri
Hidup dan mati hanya untuk Ilahi

Mengenggam janji cinta ini
Bertemu kasih tanpa jasad
Bicara tanpa suara
Hanya tulisan bahasa indah

Mengeratkan antara kita
Hinggalah ke akhirnya

Kau ku sanjung kerna pengorbanan
Bagai puteri di kayangan
Tika ku lesu hadapi hidup
Kau hembuskan nafas semangat
Penawar hati

Lagu: AMAR
Lirik: AMAR

Friday, April 9, 2010

Suami tunjang rumah tangga bahagia


Lelaki kena teladani cara Rasulullah hormati isteri jalani kehidupan sebagai ketua keluarga

Oleh Khairul Anwar Rahmat

PASTI ramai terkejut dengan laporan akhbar baru-baru ini bertajuk ‘12,349 lelaki yang tidak bertanggungjawab’. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Ibrahim Lembut, mendedahkan sebanyak 12,349 kes tuntutan nafkah direkodkan sepanjang 2000 hingga 2009. Begitulah ramainya orang lelaki yang culas mematuhi perintah mahkamah untuk membayar nafkah. Melalui statistik itu, terbukti bahawa ramai suami dan bapa yang tidak memahami tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang berkewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.

Lalu, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan saudara sekalian mengenai hikmah perkahwinan yang perlu sentiasa kita perteguhkan. Bagus sekiranya kita bermuhasabah mengenai perjalanan bahtera rumah tangga kita. Tatkala kita memerhatikan kegembiraan dan kebahagiaan pasangan lain, adakah kita mengambil teladan? Atau ketika terdengar masalah dan kesulitan pasangan lain, adakah kita mengambil iktibar?

Saya ingin berkongsi pandangan dan pengalaman mengendalikan kes, bahawa realitinya, tidak semua perkahwinan yang dibina akan berakhir dengan kegembiraan seperti mana yang ditunjukkan dalam drama swasta atau cerekarama. Malah, jangan beranggapan bahawa majlis perkahwinan yang hebat dengan belanja ratusan ribu ringgit akan menjanjikan bahagia.

Ada yang bertanya kepada saya, apakah hak dan tanggungjawab seorang isteri. Jawapannya mudah saja. Berbaliklah kita kepada sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dari Abu Hurairah).

Sudah terang lagi bersuluh bukan? Betapa tingginya martabat seorang suami untuk ditaati sudahpun diberikan kiasannya oleh Nabi SAW. Saidatina Aishah juga pernah berkata: “Wahai wanita. Seandainya kamu mengerti kewajipan terhadap suamimu, tentu seorang isteri dari kamu akan bertindak menyapu debu dari tapak kami suamimu dengan sebahagian mukanya”.

Kata-kata itu bukan bermaksud seorang wanita perlu sentiasa menyapu debu di kaki suaminya. Namun secara kiasannya, Saidatina Aishah mengingatkan golongan wanita mengenai kewajipan mentaati suami yang tidak ada tolok bandingnya dengan kewajipan lain. Namun demikian, ia tertakluk kepada syarat lain terutama selagi si suami mentaati perintah Allah dan Rasul.

Wahai golongan bapa, janganlah pula kita gembira dengan kata-kata di atas. Ingatlah bahawa penghormatan itu datang dengan tanggungjawab yang berat. Jika demikianlah ketinggian darjat kita di sisi Islam, maka bukan bermakna kita boleh memperlakukan isteri kita dengan sesuka hati.

Renungilah ayat kitab suci al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang meletakkan wanita di kedudukan tinggi dan mulia. Kepada anak muda yang ingin berkahwin, fahamilah hak seorang perempuan yang bergelar isteri.

Kepada bapa-bapa yang sudah mengharungi masjid perkahwinan selama setahun, lima malah sepuluh atau 20 tahun, tidak salah juga jika sesekali menilai sama ada kita sudah menghargai isteri kita sebaik mungkin atau tidak.

Jika ada yang masih terleka atau terlupa, elok sama-sama kita renungkan pesanan Rasulullah: “Perlakukanlah wanita dengan baik, kerana mereka itu diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok. Yang bengkok pada tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Bila engkau terlalu keras meluruskannya ia patah, tetapi bila engkau biarkannya ia tetap bengkok. Oleh itu, perlakukanlah wanita dengan baik”.

Demikianlah sabda Baginda sebagai panduan kaum lelaki. Hendaklah kita sentiasa berlembut dengan kaum wanita terutama yang sudah sah diijabkabulkan sebagai isteri.

Walau apa pun yang berlaku, didiklah isteri dengan cara yang paling berhikmah supaya tidak melukakan perasaannya yang lembut apatah lagi mencederakan tubuh badannya.

Dalam sepotong ayat al-Quran, Allah berfirman maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya, dalam hal yang demikian itu terdapat bukti-bukti bagi orang-orang yang mahu berfikir.” (Surah Ar-Rum: 21)

Kemuliaan kita sebagai suami hanya akan diiktiraf sekiranya kita berjaya berlaku adil, berkasih sayang dan menghargai isteri sendiri.

Tiada contoh teladan yang lebih baik daripada melihat bagaimana Rasulullah menjalani kehidupan beliau sebagai seorang ketua keluarga. Ambillah petua daripada Baginda terutama bagaimana seseorang isteri harus dihormati dan dikasihi.

Baginda bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya. Sedang aku adalah orang yang paling baik terhadap isteri.” (Hadis Riwayat Tabrani dan Tirmidzi)

Berdasarkan pengalaman peribadi dan rakan peguam yang lain, kebanyakan kes rumah tangga yang didedahkan di majalah dan dada akhbar adalah disebabkan pembinaan keluarga yang tidak berasaskan ketauhidan terhadap Allah SWT.

Justeru, marilah kita bersama kembali kepada hikmah perkahwinan yang sebenar kerana ganjarannya amat besar bukan setakat kebahagiaan di dunia, malah syurga Firdaus hakiki yang akhirnya menjadi saksi cinta sejati.

Penulis ialah Peguam Sivil di Mahkamah Tinggi Malaya serta Peguam Syarie di Mahkamah Tinggi Syariah

Wednesday, April 7, 2010

Kad kahwinku...

Thursday, April 1, 2010

Kenapa kita mesti sayang Tuhan?


RUGINYA kita kalau kita tidak cinta dan tidak sayang kepada-Nya. Sedangkan kesayangan kita kepada yang lain, tidaklah berjasa dan berbaik pada kita sebanyak mana Tuhan lakukan untuk kita.

Kenapa kita mesti menyayangi Tuhan?

1) Dialah pencipta dan memberi kemudahan secara percuma dengan segala macam khazanah yang bersifat fizikal, mental dan rohani.

Dalam badan kita ada jantung, hati, paru-paru, usus-usus, buah pinggang, sistem peranakan, sistem penghadaman, ada otak, ada saraf, ada saluran darah dan lain-lain.

Tersimpan juga dalam tubuh kita berbagai-bagai maklumat aqliah seperti ilmu alam, ilmu matematik, maklumat sejarah, sains, ekonomi, rahsia peribadi dan individu lain termasuk maklumat berkenaan alam akhirat. Memang hebat batang tubuh kita ini.

2) Dibekalkan kepada kita dengan seribu perasaan tanpa sebarang bayaran. Seperti rasa sedih, sayu, takut, marah, sayang, rindu, kasih, cinta, gerun, geram, benci, meluat dan jijik.

Bukan itu saja, lautan rasa boleh bertukar warna kepada rasa hebat, megah, sombong, tinggi diri, bangga, rasa mampu, selamat, dan pelbagai lagi.


Tidak kurang juga dengan rasa derita, kecewa, putus asa, terseksa, lara, rasa diri tak berguna, rasa hina, rasa lemah, rasa tidak selamat, rasa serba tak boleh.

Di sudut lain, lautan ini membawa irama gelombang yang lain pula. Rasa bakhil, gila dunia, gila kuasa, gila puji, gila wanita, tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, rasa nak tipu, nak bohong, nak mencuri, nak bunuh orang, nak bunuh diri, mengangkat diri dan jatuhkan orang.

Ada pula jenis rasa yang indah supaya dapat melayari lautan rasa manusia hingga terbuai-buai kita dibuatnya. Rasa sayang ibu bapa, sayang isteri, suami, sayang anak-anak, sayang kawan, sayang jiran, sayang bunga, sayang barang-barang, sayang hidup, sayang kerja, sayang rumah dan sayang dunia.

Diiringi pula rasa-rasa yang indah ini supaya dapat mengecapi bahagia seperti pemurah, peramah, berprasangka baik, berbudi tinggi, lapang dada, berkasih sayang, memaafkan, rasa bersalah dan meminta maaf, rendah diri, memuliakan, ingin disayangi dan membalasnya.

Tetapi kemuncak dari semua itu, ada satu rasa yang paling mahal daripada semua rasa itu adalah 'rasa bertuhan.' Rasa inginkan Tuhan sewaktu susah. Sungguh ajaibnya penciptaan, pemberian dan anugerah yang maha luas ini.

Bagaimana diri manusia yang sekecil ini dibenarkan memiliki seribu satu macam khazanah rohaniah? Siapa pereka, perancang, pencipta dan mengawal sistem 'super power' ini? Tuhan, bukan? Hanya Dialah yang semampu ini. Hanya Dia yang sebijak dan sekuasa itu! Hanya Dia dan Dia saja.

Sebab itulah Tuhan Yang Agung ini berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia adalah sebaik-sebaik ciptaan dan kejadian."

Instinct atau fitrah kita yang menjawabnya. Sebab fitrah memang dibentuk bersama rasa yakin adanya Tuhan. Rasa mahukan Tuhan.

Sebab itu kita bangga mengaku sebagai seorang hamba Tuhan. Tetapi marah kalau orang tuduh kita hamba syaitan, hamba seks, hamba duit dan lain-lain.

Pelik manusia ini, macam-macam yang dicinta, tetapi marah apabila dikaitkan dengan perkara yang banyak itu. Sebab cinta itu murah.

Sedangkan cinta Tuhan itu mahal. Saintis itu sebenarnya ada rasa mahukan Tuhan. Terutama waktu susah apabila mereka akan memanggil Tuhan dengan kata 'oh my God!' Tetapi sayang perasaan mereka terhadap Tuhan itu tidak dibaja dan tidak disuburkan.

Sedangkan rasa cinta kepada 'girlfriend' itu begitu dipupuk, sayang anak itu dibelai-belai, sayangkan ibu bapa amat dibesar-besarkan.

Sayang dunia, sayang pangkat, cinta kereta dan lain-lain sungguh bertakhta di hati. Sanggup hidup mati kerananya walhal apa sangatlah semua itu pada kita. Ia pernah ada dan pernah tiada. Bila lagi nak berangkat mencari sayang Allah?